KUALA LUMPUR: Lebih 41 peratus golongan belia di negara ini yang terdiri daripada mereka yang berusia 18 tahun ke atas masih berbelah bahagi berhubung kecenderungan untuk memilih parti politik yang akan diundi.

Menurut pengasas bersama Architects of Diversity, Jason Wee, peratusan itu diperoleh hasil daripada kaji selidik Tinjauan Manifesto Aspirasi Belia untuk menilai pemilihan golongan tersebut bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

Kata beliau, terdapat saingan empat penjuru yang sangat sengit untuk merebut undi belia pada PRU  kelak dengan dapatan menunjukkan sokongan yang diperoleh Barisan Nasional (BN) sebanyak 15.5 peratus diikuti Perikatan Nasional (PN) 13.8 peratus, MUDA 11.9 peratus dan Pakatan Harapan 10.5 peratus.

“Parti Barisan Nasional secara kolektif mendapat sokongan paling ramai di kalangan belia pada masa ini dengan kelebihan yang agak tipi,” jelas beliau dalam sidang media secara dalam talian mengenai hasil dapatan kaji selidik itu.

Jason berkata, tinjauan dan kajian yang dilakukan bermula 22 Februari sehingga 7 Mac lalu melibatkan lebih 3,089 responden yang berumur antara 18 hingga 30 tahun.

Sehubungan dapatan berkenaan, Jason mencadangkan kepada parti-parti politik yang ada ketika ini agar memasukan keutamaan isu membabitkan belia sekiranya mereka mahu menarik minat golongan itu untuk mengundi pada PRU-15 kelak.

Antara isu yang digariskan beliau ialah, pemilikan rumah mampu milik yang merangkumi 90 peratus keperluan seperti dapatan tinjauan.

Selain itu, beliau berkata, dapatan kaji selidik itu juga merekodkan 61 peratus belia
mahukan peningkatan gaji minimum yang ada ketika ini sementara 45 peratus lain menuntut peningkatan Belanjawan Kesihatan Awam.

Dalam masa sama, Jason berkata, walaupun lebih 55 peratus golongan belia berusia 18 tahun belum memiliki pengalaman mengundi ketika ini, namun, lebih 80 peratus daripada mereka menyatakan hasrat mereka untuk menunaikan tanggungjawab pada PRU15.

Tidak ketinggalan Tinjauan Manifesto Aspirasi Belia turut mendapati 13 peratus daripada golongan beliau mereka mengambil sikap ‘atas pagar’.