KUALA LUMPUR: Sebanyak 43 lagi kes kematian membabitkan jangkitan COVID-19 dicatatkan sehingga semalam.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dalam masa sama negara turut merekodkan 3,140 kes baharu COVID-19 pada Selasa.

Pertambahan angka baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di negara ini sebanyak 2,727,824 kes.

Menurut data KKM di portal COVIDNOW, lapan daripada 43 kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID).

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan wabak itu kepada 31,135 orang, daripada 2.72 juta kes positif COVID-19 yang dikesan di negara ini.

Unit rawatan rapi (ICU) setakat ini menempatkan seramai 353 pesakit dan daripada jumlah itu, 189 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Manakala kes sembuh hari ini adalah sebanyak 4,278 kes sekali gus angka kumulatif sembuh ialah 2,642,469.

Sebahagian besar daripada jumlah kes baharu melibatkan pesakit kategori 1 dan 2 iaitu sebanyak 98 peratus.

Manakala selebihnya, dua peratus atau bersamaan 64 kes adalah pesakit kategori 3, 4 dan 5.