LANGKAWI: Seramai 43 pendaki dan seorang jurupandu yang sedang melakukan aktiviti mendaki di kawasan rekreasi air terjun Telaga Tujuh, Langkawi berdepan detik cemas apabila terperangkap dalam kejadian kepala air pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, berkata dalam kejadian kira-kira jam 10.35 pagi semua mereka sedang dalam perjalanan untuk turun dari bukit.

Beliau berkata, hujan lebat turun telah mengakibatkan terjadi kepala air membuatkan mereka terperangkap.
“Sepasukan anggota polis dan Bomba tiba di lokasi mendapati mangsa berada di seberang tebing sungai dan tidak dapat melintasi.

“Pada awalnya pasukan penyelamat berhadapan kesukaran untuk memasuki tempat kejadian kerana air sungai deras.

“Tindakan pantas pasukan penyelamat berjaya memindahkan mangsa ke kawasan selamat dengan merentasi sungai menggunakan tali,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Katanya kesemua mangsa selamat dan berjaya dibawa keluar pada pukul 3 petang.