KOTA BHARU: Seramai 44 orang pelajar dari asrama di sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama di sini, dikesan positif COVID-19 setakat semalam.

Perkara tersebut disahkan Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin.

Menurut beliau, kluster tersebut membabitkan pelajar asrama sekolah berkenaan yang diisytiharkan pada 14 Januari lalu.

Katanya, siasatan yang dijalankan turut mendapati seramai 256 orang kontak rapat dikenal pasti.

"Kesemua kontak rapat ini diarahkan untuk menjalani kuarantin, mereka juga dinasihatkan supaya menjalani saringan sekiranya mengalami gejala dalam tempoh itu. Sehingga semalam juga, seramai 44 kes yang dikesan positif COVID-19 yang membabitkan kesemua pelajar asrama sekolah itu," kata Dr Zaini dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Beliau berkata, Pejabat Kesihatan Daerah Kota Bharu juga mencadangkan supaya proses pengajaran dan pembelajaran bersemuka sekolah itu ditangguhkan bermula hari ini sehingga 25 Januari ini.

Mengulas dakwaan penularan wabak berkenaan berpunca daripada seorang pelajar yang ibu bapanya baru sahaja pulang daripada menunaikan umrah dan dijangkiti varian Omicron, Dr Zaini menafikan laporan tidak berasas itu.

Ini kerana, jelas beliau, pihaknya belum memperoleh keputusan varian Omicron bagi sampel ibu bapa pelajar tersebut.

"Namun, pihak kita masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengetahui punca kes COVID-19 di sekolah itu. Kita sahkan, ada kluster COVID-19 di sekolah berkenaan yang membabitkan pelajar asrama," jelas beliau.

Dalam masa sama, Dr Zaini menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan mesej yang tidak benar kerana boleh menimbulkan kebimbangan kepada ibu bapa dan masyarakat.