KUALA LUMPUR: Seramai 4,422 murid sekolah yang mendaftar dengan Kementerian Pendidikan (KPM) telah kehilangan ibu bapa dan penjaga akibat COVID-19 sejak pandemik itu melanda negara.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, daripada jumlah itu seramai 154 orang murid kehilangan kedua-dua ibu dan ayah iaitu menjadi yatim piatu.

Sehubungan itu, berliau berkata kementerian telah mengambil inisiatif dan langkah-langkah dalam memberikan bantuan serta sokongan kepada kanak-kanak berkenaan.

"Jenis bantuan yang diberikan adalah tabung bantuan segera dan bantuan kanak-kanak.

"Kerajaan semasa pengumuman Belanjawan 2021 telah bersetuju menaikkan kadar bantuan bulanan di bawah skim bantuan kanak-kanak dan bantuan pesakit terlantar kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Bagi kanak-kanak yang berusia bawah tujuh tahun, kanak-kanak layak menerima sebanyak RM200 seorang manakala bagi kanak-kanak yang berusia tujuh tahun ke atas akan memperolehi bantuan sebanyak RM150 bagi seorang kanak-kanak," katanya pada sesi pentanyaan-pertanyaan menteri bagi jawap lisan di sidang Dewan Rakyat pada Isnin.

Dewan Rakyat | 4,422 murid hilang ibu bapa akibat COVID-19


Beliau berkata demikian menjawab soalan Hannah Yeoh Tseow Suan (PH-Segambut) yang meminta beliau mendedahkan statistik jumlah kanak-kanak yang telah menjadi anak yatim akibat COVID-19 dan langkah kementerian dalam penjagaan dan kebajikan kanak-kanak ini mengikut pecahan mereka yang kehilangan ibu dan ayah, kehilangan kedua-duanya atau kehilangan penjaga.

Mengulas lanjut, Rina berkata, untuk pertama kali juga menerusi Belanjawan 2021 itu, kadar bantuan maksimum kanak-kanak dinaikkan daripada RM450 sekeluarga kepada RM1,000 sekeluarga.

Selain itu, beliau menjelaskan, perkhidmatan kaunseling kepada kanak-kanak yang menghadapi tekanan emosi akibat kehilangan ibu bapa atau penjaga turut diberikan.

"Bantuan kaunseling turut diberikan kepada anggota keluarga kanak-kanak sekiranya mereka memerlukan perkhidmatan tersebut.

"Antara perkhidmatan kaunseling yang disediakan adalah yang pertama intervensi psikologi dan kaunseling seperti kaunseling individu, kaunseling kelompok dan juga terapi psikologi.

"Yang kedua intervensi krisis dan sokongan psikologi. Intervensi ini termasuk sokongan pengurusan tekanan dan juga trauma. perkhidmatan kaunseling yang ketiga pula melibatkan psiko-pendidikan, program psiko-spritual serta 'art therapy'," jelas beliau.

Dalam pada itu, Rina menambah kanak-kanak turut boleh ditempatkan di institusi JKM sekiranya mereka tidak mempunyai waris atau saudara mara yang boleh menjaga mereka berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 17 Akta Kanak-Kanak 2001.

Kanak-kanak terbabit, katanya akan diambil perintah sementara melalui mahkamah dan diletakkan di bawah perintah sementara sama ada kepada keluarga ganti, orang yang layak dan sesuai atau institusi tempat selamat.