45 terbunuh bas jatuh jambatan di Afrika Selatan

Bernama
Mac 29, 2024 05:45 MYT
Kemalangan itu yang berlaku di laluan gunung antara Mokopane dan Marken, Limpopo. - Gambar/ Reuters
JOHANNESBURG: Seramai 45 penumpang bas terbunuh dalam nahas apabila bas yang dinaiki mangsa hilang kawalan, jatuh dari jambatan dan terbakar di wilayah Limpopo, menurut Jabatan Pengangkutan negara itu.
Seorang mangsa cedera parah dalam kemalangan itu yang berlaku di laluan gunung antara Mokopane dan Marken, Limpopo, melibatkan sebuah bas penumpang yang dilaporkan dalam perjalanan menuju ke perhimpunan Easter dari Botswana ke Moria, sebuah bandar di Limpopo, lapor Perbadanan Penyiaran Afrika Selatan dalam laporan awal, Khamis.
"Saya mengucapkan takziah kepada keluarga yang terjejas dalam nahas bas tragis berhampiran Mamatlakala. Kami menggesa pemanduan yang bertanggungjawab pada setiap masa dan lebih berwaspada kerana lebih ramai orang berada di jalan raya pada hujung minggu sempena perayaan Easter ini," kata Menteri Pengangkutan Sindisiwe Chikunga.
Polis akan terus memberikan maklumat terkini apabila usaha menyelamat dan pemulihan dijalankan dan punca sebenar nahas sedang disiasat, menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
#Afrika Selatan #kemalangan bas #bas jatuh jambatan #angka korban