KUALA LUMPUR : Lebuh Raya Pantai Timur 2 Sdn Bhd menjangkakan kira-kira 38,000 hingga 45,000 kenderaan setiap hari apabila perjalanan rentas negeri dibenarkan semula.

LPT2 yang mengendalikan lebuh raya dua hala menghubungkan Jabor dan Kuala Terengganu di Pantai Timur (ECE2) turut menjangkakan peluang itu digunakan orang ramai untuk melancong dan melawat keluarga serta sahabat handai di negeri-negeri lain.

Menurut Pengurus Perniagaan Wilayah, LPT2, Suhaimi Samat, LPT2 secara asasnya sentiasa bersedia untuk sebarang peningkatan jumlah kenderaan.

"Pasukan petugas kami di lapangan sudah bersedia untuk pertambahan kenderaan sebaik sahaja pengumuman perjalanan antara negeri dibenarkan nanti.

"Semua 10 plaza tol di LPT2 bersedia menyambut pelanggan lebuh raya kami.

"Bagaimanapun, kami tetap mengingatkan semua yang telah lengkap divaksin untuk terus mengikuti SOP MKN, termasuk menunjukkan status MySejahtera, memakai topeng muka berganda yang betul, mengekalkan penjarakan fizikal, dan menggunakan oembersih tangan, apabila berhenti untuk berehat di lima R&R dan empat Hentian Sebelah kami," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut memberi jaminan kakitangan LPT2 yang terdiri daripada LPT2 Ronda, pasukan keselamatan dan penyelenggaraan lebuh raya serta kakitangan perkhidmatan pelanggan di seluruh laluan sepanjang 184 km sentiasa bersedia untuk sebarang kemungkinan.

Semua kemudahan awam di R&R dan Hentian Sebelah LPT2 sentiasa dibersihkan mengikut jadual pembersihan yang ketat sebagai sebahagian daripada komitmen jangka panjang LPT2 untuk memastikan kebersihan dikekalkan kerana kemudahan seperti surau dan tandas dibuka 24 jam sehari.