KUALA LUMPUR:Seramai 456 individu telah ditahan atas pelbagai kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan media pada Sabtu memaklumkan, kesemua yang ditahan telah dikompaun.

Antara kesalahan yang dilakukan ialah tidak memakai pelitup muka (174), gagal melakukan penjarakan fizikal (74) dan gagal menyediakan peralatan merekod butiran diri (72).

Sementara itu, Operasi Benteng semalam berjaya menahan 12 pendatang asing tanpa izin dan dua buah kenderaan darat.

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus," katanya.

Sejumlah 9,960 individu pula sedang menjalani kuarantin wajib selepas pulang dari luar negara, dengan 381 dihantar ke hospital untuk menjalani rawatan.

"Seramai 58,365 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan telah ditempatkan di 63 hotel dan 18 premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta Institusi Pengajian Swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan,
Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan," ujarnya.