456 individu mati di pusat tahanan tahun lalu - Suhakam

Umavathi Ramayah
Oktober 22, 2021 10:39 MYT
Jerald Joseph berkata, Suhakam mengesyorkan Kementerian Kesihatan untuk mewujudkan unit kesihatan tahanan yang berperanan khusus untuk menguruskan aspek kesihatan di pusat tahanan.
KUALA LUMPUR: Sebanyak 456 individu dilaporkan mati ketika mereka ditahan, sepanjang tahun lalu.
Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Jerald Joseph berkata, Jabatan Penjara merekodkan 363 kematian, diikuti Jabatan Imigresen (50 individu), Polis Diraja Malaysia (34 individu) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) sebanyak sembilan kes.
"Suhakam bukan menuduh yang kematian mereka (tahanan) adalah disebabkan mereka diseksa atau sebaliknya. Namun kami mahu pihak penguat kuasa menyiasat punca kematian.
"Sesungguhnya, kami mengakui ada juga kes kematian yang disebabkan faktor kesihatan seperti jangkitan COVID-19," katanya dalam sidang media yang diadakan secara dalam talian di sini, pada Jumaat.
Justeru Jerald berkata, Suhakam mengesyorkan Kementerian Kesihatan untuk mewujudkan unit kesihatan tahanan yang berperanan khusus untuk menguruskan aspek kesihatan di pusat tahanan.
Katanya, ia adalah bagi memastikan standard kesihatan di pusat tahanan adalah setaraf dengan standard kesihatan masyarakat awam.
Bagi tujuan itu, beliau berkata, peruntukan kewangan dan sumber tenaga manusia perlu disalurkan kepada pengurusan tempat tahanan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan di pusat tahanan.
#Tahanan #Polis Diraja Malaysia #jabatan imigresen #Suhakam