KUALA LUMPUR: Sebanyak 463 kawasan di lima daerah Selangor dan Putrajaya dijangka sekali lagi mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selepas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dihenti operasi akibat pencemaran bau petang tadi.

Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu hantaran di Facebook rasminya, memaklumkan pencemaran itu dikesan pada pukul 5.15 petang.

Katanya, daerah yang dijangka terjejas ialah 172 kawasan di Petaling manakala Hulu Langat (54), Sepang (194), Putrajaya (23) dan Kuala Langat (20).

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor, Elina Baseri berkata, pengguna boleh mendapatkan senarai kawasan terbabit menerusi aplikasi serta laman sesawang www.airselangor.com.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyebut mengenai punca pencemaran berkenaan dan tempoh gangguan bekalan air itu akan pulih.

Selasa lalu, sebanyak 323,623 pemilik akaun di lima kawasan yang sama mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual disebabkan masalah yang serupa.

 
Sumber Facebook airselangor