KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan 5,097 kes baharu COVID-19 setakat tengah hari Sabtu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes yang direkodkan hari ini menunjukkan penurunan berbanding semalam iaitu  5,501 kes.

"Dengan kes baharu hari ini menyumbang kepada 2,619,577 kes secara kumulatif di seluruh negara setakat ini," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu. 


Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan, sebanyak lapan lagi kluster baharu dikesan dalam tempoh 24 jam, yang menjadikan sejumlah 234 kluster masih lagi aktif. 

Sementara itu, data di laman sesawang COVIDNOW, setakat pukul 11:59 malam tadi menunjukkan, kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 67,547 kes, dan jumlah kematian 45 kes , menjadikan sebanyak 30,195 kes kematian direkodkan akibat COVID-19 di Malaysia setakat hari ini.

Daripada 67,547 kes aktif, sebanyak  54,020 kes (80 peratus) menjalani kuarantin di rumah, 7,474 kes (11.1 peratus) di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Bersepadu (PKRC), 5,534 kes (8.2 peratus) di hospital, 252 kes (0.4 peratus) di unit rawatan rapi dan 267 kes (0.4 peratus) memerlukan alat bantuan pernafasan.