5,400 pelajar B40 berjaya ke MRSM, rayuan masih dibuka - Rina Harun

Harits Asyraf Hasnan
Disember 27, 2018 04:11 MYT
Sejumlah 70 peratus, iaitu kira-kira 5,400 pelajar daripada keluarga dalam kelompok berpendapatan B40 berjaya menempatkan diri di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) seluruh negara.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata 20 peratus pula merngkumi kelompok M40 manakala baki 10 peratus daripada kelompok T20.
Jelasnya, jumlah 70 peratus itu melebihi sasaran awal kementerian iaitu sebanyak 65 peratus bagi golongan tersebut.
“Kita telah mengeluarkan keputusan pada 21 Disember 2018, lebih awal daripada biasa. Ini bagi membantu ibu bapa dalam membuat persiapan terutama untuk sesi persekolahan ini,” katanya pada sidang media di Projek Perumahan Rakyat (PPR), Jelatek di sini hari ini.
Beliau sebelum itu merasmikan Program ‘Segak ke Sekolah’: Jom Gunting Rambut Percuma anjuran Giat MARA, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan badan bukan kerajaan.
BACA: 70,000 mohon masuk MRSM, kuota hanya 7,760 - Rina Harun
Mengulas lanjut, Rina berkata, beberapa kriteria menjadi penilaian dan bukan kadar pendapatan semata-mata.
“Kita sudah bergerak melangkah ke hadapan di mana sebelum ini dikatakan MRSM untuk golongan elit. Jadi kita sasarkan sekurang-kurangnya 65 peratus.
“Saya rasa daripada pihak kementerian, itu adalah langkah pertama yang kita lakukan. Jadi, dari masa ke semasa kita akan lihat keadaan termasuk peluang kepada pelajar M40, termasuk ibu bapa yang mempunyai anak yang ramai dan sebagainya.
“Ini kerana kita ada beberapa penilaian yang kita buat dan mereka rasa mereka layak, mereka boleh buat rayuan,” katanya lagi.
Sejumlah 7,760 pelajar lepasan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) bakal melapor diri di 54 buah MRSM di seluruh negara.
Tambahnya, daripada jumlah itu, 10 buah MRSM bakal dan sedang dibina.
#B40 #M40 #Maktab Rendah Sains Mara #MARA #MRSM #pelajar #UPSR