KUALA LUMPUR: Kes jangkitan baharu COVID-19 sepanjang tempoh 24 jam yang lalu menunjukkan sedikit penurunan berbanding beberapa hari lalu dengan merekodkan 5,859 kes sehingga Sabtu.

Pertambahan angka itu menjadikan jumlah keseluruhan pandemik itu dalam negara mencecah angka 2,581,747.

Wabak COVID-19 juga, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, menyebabkan 45 lagi kematian menjadikan jumlah kumulatif korban di Malaysia sebanyak 29,937.


Bagaimanapun, sebahagian besar kes COVID-19 yang dicatatkan melibatkan pesakit kategori 1 dan 2 iaitu sebanyak 98.3 peratus atau bersamaan 5,757 kes, manakala selebihnya merupakan pesakit kategori 3,4, dan 5 iaitu sebanyak 1.7 peratus iaitu sebanyak 102 kes.

Setakat ini, Unit Rawatan Rapi (ICU) menempatkan seramai 529  kes dan daripada jumlah itu juga, 261 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, jumlah kes sembuh hari ini dilaporkan sebanyak 4,970 kes dengan keseluruhan kes pulih kini 2,482,284.

Pihak KKM bagaimanapun mengesan satu lagi kluster baharu pada Sabtu manakala jumlah kluster yang ditamatkan adalah 5,638.

Jumlah kluster aktif pula adalah 240.