KUALA LUMPUR: Bulan Ramadan disambut penuh kesyukuran oleh umat Islam di seluruh dunia.

Bagi umat Islam, bulan ini ialah bulan ibadah. Namun, kemeriahannya tidak kurang juga diraikan oleh masyarakat bukan Islam yang menantikan pembukaan Bazar Ramadan bagi mendapatkan pelbagai juadah menarik.

Dalam keghairahan itu, pastinya perlu diingatkan kepada semua pengguna dan peniaga untuk tidak melakukan pembaziran makanan.

Berikut adalah tip untuk mengelak pembaziran yang dipetik daripada program Agenda AWANI.

ASINGKAN MAKANAN KERING DAN BASAH

Pengasas Bersama What a Waste, Alvin Chen berkata, cara paling mudah untuk peniaga memastikan kualiti makanan terjamin adalah dengan mengasingkan bahan kering dan basah dalam makanan yang dijual.

Selain itu, ia juga memberi manfaat kepada pengguna untuk mengawal sendiri jumlah sebatian yang diingini dalam makanan mereka.

SENSITIF KETIKA MEMBELI MAKANAN

Alvin juga berkata, pembeli perlu memastikan makanan dan minuman yang dibeli mestilah sesuai dengan keperluan.

Selain itu, pastikan makanan yang dibeli adalah bersih dan selamat.

“Kita perlu ada senarai barangan yang ingin dibeli. Jangan hanya kerana tidak mahu ketinggalan promosi yang baik, kita berbelanja tanpa perancangan yang rapi,” katanya

Makanan dibuang rakyat Malaysia boleh penuhi Menara Berkembar Petronas

FIKIRKAN NASIB ORANG MISKIN

Selain itu, Alvin turut berpendapat, sikap prihatin terhadap nasib keluarga kurang bernasib baik boleh memastikan kita sentiasa sedar untuk tidak melakukan pembaziran dalam pelbagai bentuk.

“Saya gunakan analogi, tabiat membuang makanan ini seperti mencuri dan merompak makanan daripada meja orang miskin. Harap dengan pemikiran ini menjadikan kita lebih menghormati makanan yang kita ada,” ujarnya.

RANCANG MAKANAN YANG DIJUAL MENGIKUT PERMINTAAN

Sementara itu, Pengurus Korporat, Komunikasi dan Komuniti The Lost Food Project, Nadhirah Rashid berkata, peniaga perlu menilai jumlah sisa makanan dan bukan makanan yang dihasilkan pada satu-satu hari.

Seterusnya, mereka perlu merancang kuantiti bahan dihasilkan pada hari lain dengan menyesuaikan kepada permintaan pengguna.

PENIAGA GALAKKAN PENGGUNA BAWA BEKAS MAKANAN SENDIRI

Nadhirah juga berkata, peniaga perlu menggalakkan pelanggan untuk bawa beg guna pakai, bekas makanan dan alatan makanan sendiri untuk mengurangkan sisa buangan.

“Kalau kita tak sentuh kepada sisa makanan dan rujuk kepada sisa secara umum. Boleh galakkan pengguna bawa beg plastik sendiri dan bekas makanan sendiri,” katanya.

Isi rumah penyumbang utama sisa makanan Malaysia