KEMAMAN: Lima pemancing bersama seorang tekong yang keluar memancing di perairan Kemaman sejak Isnin lalu, dikhuatiri hilang disebabkan kemungkinan bot mengalami kerosakan.

Kesemua mereka yang berusia 19 hingga 29 tahun itu sepatutnya pulang pada Rabu, namun sehingga kini tidak kelihatan. Malah, mereka gagal dihubungi sejak Selasa malam, menyebabkan ahli keluarga membuat laporan.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu,  Kepten Maritim Muhammad Suffi  Mohd Ramli, berkata pihaknya menerima laporan jam 8.50 malam Selasa daripada seorang ahli keluarga mangsa.

Jelasnya Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Kuantan telah mengaktifkan serta mengkoordinasikan operasi mencari dan menyelamat (SAR)  di laut.

"Kita juga telah menyalurkan maklumat awal kepada aset-aset maritim yang melakukan rutin rondaan bagi membuat pemantauan dan pengesanan.

"Dua buah aset digerakkan bagi mengesan kesemua mangsa. Operasi  turut dibantu Persatuan Nelayan Kawasan Kemaman bagi mengesan kedudukan bot tersebut dalam lingkungan 20 hingga 30 batu nautika dari pantai Kemaman," katanya dalam kenyataan di sini.