50,783 orang disahkan terkorban dalam gempa bumi kuat di Turkiye

Bernama
April 23, 2023 05:05 MYT
Sampel DNA telah diambil daripada pemohon dari Idlib, Afrin, Jarablus, Azez dan Mare semasa proses pengecaman. - Fail/BERNAMA
ISTANBUL: Seramai 50,783 orang disahkan terkorban dalam dua gempa bumi kuat yang melanda Turkiye awal tahun ini, kata Menteri Dalam Negeri Suleyman Soylu pada Sabtu.
"Pada masa ini terdapat 297 laporan orang hilang, 86 daripadanya ialah kanak-kanak. Jumlah migran yang terkorban pula seramai 7,302 orang. Pengecaman untuk 985 lagi mangsa masih dijalankan," kata Soylu.
Beliau berkata sampel DNA telah diambil daripada pemohon dari Idlib, Afrin, Jarablus, Azez dan Mare semasa proses pengecaman.
Soylu berkata proses membersihkan serpihan runtuhan juga sudah hampir selesai yang kebanyakannya di wilayah Hatay.
"Semua bangunan yang akan dirobohkan telah dikosongkan. Dalam tempoh 10 hari, kita akan mula merobohkan bangunan yang rosak teruk," katanya.
-- BERNAMA
#Gempa bumi Turkiye #jumlah korban #Suleyman Soylu #Hatay