ALOR SETAR: Belum sempat berlumba sekumpulan 50 remaja ditahan di Persimpangan Lampu Isyarat Kedondong dekat Pokok Sena, malam Khamis.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, berkata OP Samseng Jalanan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar bermula pada jam 12 tengah malam.

“Kumpulan remaja terbabit menjadikan lokasi itu sebagai 'check point' aktiviti berlumba dan tidak menyedari mereka telah dikepung pasukan polis.

“Kesemua mereka ditahan ketika sedang menunggu perlumbaan bermula.

“Sebanyak 68 keping saman Pol 257 telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan sementara tujuh buah motosikal disita,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Antara remaja yang ditahan dalam operasi itu. - Foto PDRM

Ahmad Shukri berkata, antara kesalahan dikesan dalam operasi itu, tidak memiliki lesen memandu dan pengubahsuaian motosikal.

Mereka yang ditahan dibawa ke Balai Polis Trafik Kota Setar untuk tindakan lanjut.