KUALA LUMPUR: Penguatkuasaan undang-undang Malaysia bagi melindungi ancaman seksual kepada kanak-kanak disifatkan masih berada di tahap rendah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata keadaan itu sekali gus meletakkan Malaysia jauh ke belakang berbanding negara Asia Tenggara yang lain.

Jelas beliau, Malaysia berada di kedudukan ke-23 daripada 60 negara dalam tindak balas kepada ancaman eksploitasi dan penderaan seksual kanak-kanak (CSEA) berdasarkan indeks antarabangsa Out of The Shadows dengan merekodkan 56.9 markah.

"(Kedudukan Malaysia) belakang rakan negara serantau seperti Indonesia (68.1), Thailand (58.7), Filipina (58.4), dan Vietnam (58.4).

"Oleh itu, langkah proaktif haruslah diambil untuk meningkatkan kedudukan Malaysia berdasarkan piawaian antarabangsa.

"Menurut statistik yang dibekalkan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM),seramai 5,350 mangsa Jenayah Seksual Kanak-Kanak telah dilaporkan dari April 2017 sehingga 2022," katanya ketika sesi penggulungan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada Rabu.

Jelas beliau, undang-undang sedia ada perlu dipinda untuk menangani, mencegah dan menghukum pendera yang menggunakan kaedah-kaedah moden sama ada dalam talian dan luar talian.

Selain daripada itu, kata Ahli Parlimen Pengerang itu lagi, kerajaan juga perlu memastikan akses bagi setiap mangsa kanak-kanak kepada sistem keadilan adalah selamat, mudah diakses, serta kepentingan terbaik kanak-kanak diutamakan.

Sehubungan itu, Azalina berkata tiga akta akan dipinda bagi melindungi kepada kanak-kanak daripada menjadi mangsa jenayah seksual dan menjamin keadilan kepada mangsa.

Ia melibatkan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792), Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007 (Akta 676), dan Akta Keterangan 1950 (Akta 56), yang mana pindaan akan dilaksanakan dalam dua fasa.

"Bagi fasa pertama, terdapat tiga cadangan pindaan akan dibuat kepada Akta 792 dan tiga cadangan pindaan juga akan dibuat kepada Akta 676 pada sidang kali ini.

"Manakala, fasa kedua akan dilaksanakan pada sidang Parlimen yang akan datang selepas sesi libat urus selanjutnya dengan pihak-pihak berkepentingan.

"Antara cadangan pindaan yang akan dibuat adalah memperkenalkan langkah tambahan mesra kanak-kanak untuk melindungi mangsa kanak-kanak, mewujudkan kesalahan-kesalahan baharu dan memperuntukkan pampasan kepada mangsa kanak-kanak," ujarnya.

Azalina menambah pindaan perundangan yang bakal dilaksanakan adalah merupakan perubahan positif kepada sistem keadilan jenayah terhadap kanak-kanak di Malaysia.

Selain itu, katanya pelaksanaan polisi yang dicadangkan juga menunjukkan komitmen kerajaan untuk sentiasa terbuka ke arah pembaharuan dan penambahbaikan sistem perundangan dan keadilan di negara ini.

"Reformasi yang dicadangkan diharapkan dapat membantu mangsa atau saksi kanak-kanak daripada mengalami trauma berpanjangan akibat terpaksa melalui proses perbicaraan yang berpanjangan, berulang-ulang dan sistem kehakiman yang bersifat tidak mesra kanak-kanak," kata Azalina.