58,481 peneroka setuju tandatangan perjanjian pelarasan pinjaman

Aida Aziz
Julai 24, 2021 15:41 MYT
Mustapa berkata pengurusan Felda sedang merangka pelbagai usaha termasuk turun padang dalam memberi kefahaman kepada peneroka. - Gambar fail
GERIK: Sebanyak 61.41 peratus atau 58,481 daripada 95,236 peneroka Felda telah bersetuju untuk menandatangani perjanjian Pelarasan Pinjaman Peneroka Secara Bersyarat setakat semalam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata pengurusan Felda sedang merangka pelbagai usaha termasuk turun padang dalam memberi kefahaman khususnya kepada peneroka yang masih kurang jelas mengenai pelarasan pinjaman itu.
"Masalah kurang kefahaman antara sebab masih ada baki peneroka belum memberi sebarang jawapan berhubung pelarasan pinjaman ini.
"Sebagai contoh, pada peringkat awal para peneroka ini berpendapat bahawa jika mereka setuju untuk tandatangan, Felda akan ambil alih semua tanah ladang mereka itu. Itu persepsi yang salah. Sebaliknya, jika mereka setuju (tandatangan) Felda akan pastikan pengurusan tanah ladang mereka diurus dengan baik," katanya dalam sidang media selepas melawat Felda Bersia, di sini pada Sabtu.
Hutang Peneroka | FELDA uruskan, bukan ambil alih ladang
Sempena sambutan Hari Peneroka Felda 2021 pada 7 Julai lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan secara dasar bersetuju melupuskan sebahagian hutang pinjaman peneroka FELDA berjumlah RM8.3 bilion sebagai inisiatif penjanaan semula organisasi berusia 65 tahun itu.
Muhyiddin turut menegaskan pelupusan itu dilakukan melalui inisiatif pelarasan pinjaman peneroka secara bersyarat terutamanya bagi generasi awal yang telah berkorban untuk kejayaan program rancangan pembangunan tanah FELDA.
Dalam perkembangan lain, Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli berkata FELDA turut memantau perkembangan terkini berkaitan pandemik COVID-19 dan setakat ini sebanyak 142 pusat pemberian vaksin (PPV) telah dibuka di tanah rancangan itu di seluruh negara.
#Felda #perjanjian pelarasan pinjaman #Mustapa Mohamed #Perdana Menteri #Muhyiddin Yassin #peneroka setuju