581 kes penderaan kanak-kanak dilaporkan sejak 2015 hingga Jun ini

Bernama
Ogos 28, 2017 00:29 MYT
Kes penderaan kanak-kanak dan pengabaian berlaku di pelbagai tempat termasuk di taska perlu dipandang serius. -Gambar hiasan
Sebanyak 581 kes penderaan kanak-kanak yang dilakukan pengasuh, dilaporkan dari tahun 2015 hingga Jun tahun ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata mengikut statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu, sebanyak 146 kes berkenaan bermula awal tahun ini sehingga Jun.
"Sebanyak 32 Taska dikenakan tindakan arahan bertulis, 14 Taska dikenakan tindakan kompaun, empat taska dikenakan tindakan tutup sementara, 52 Taska dibatalkan pendaftaran dan dua taska lagi telah didakwa pada tempoh tersebut," katanya dalam ucapan perasmian sempena majlis penutup Bengkel Khas Taska di Rumah, di Putrajaya, pada Ahad.
Beliau berkata kementeriannya memandang serius kes penderaan kanak-kanak dan pengabaian berlaku di pelbagai tempat termasuk di Taska.
Bengkel Khas Taska di Rumah anjuran Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM) diikuti 250 peserta itu bertujuan memberi pendedahan berhubung keperluan pendaftaran Taska di Rumah serta menggalakkan serta memastikan semua Taska di Rumah berdaftar dengan JKM.
Jelasnya, kebanyakan kes kemalangan berlaku di taska adalah di kalangan taska yang tidak berdaftar dan berpunca dari pengasuh yang tidak menghadiri Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak PERMATA (KAP).
-- BERNAMA
#Bengkel Khas Taska di Rumah #dera #Jabatan Kebajikan Masyarakat #jkm #Kanak-kanak #kebajikan #Penderaan Kanak-kanak #Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia #Rohani Abdul Karim #statistik #taska