PUTRAJAYA: Keputusan memilih Ericsson sebagai penyedia perkhidmatan 5G di negara ini, dilakukan sepenuhnya oleh Digital Nasional Berhad (DNB), dengan amalan tadbir urus perolehan terbaik, kata Kementerian Kewangan (MoF).

Menurut jawapan bertulis yang diedarkan di Dewan Rakyat, Kerajaan tidak terlibat dalam proses pemberian kontrak 5G yang bernilai RM5 bilion tersebut.

Jelas MoF lagi, DNB telah melaksanakan amalan tadbir urus terbaik, serta menjamin ketelusan dalam penilaian, cadangan, serta proses keseluruhan tender.

“Proses Tender 5G telah bermula April ini, dengan 14 syarikat pembekal perkakasan rangkaian (NEP) global telah dikenalpasti melalui tinjauan pasaran.

“Proses penilaian tender telah dilaksanakan pada Mei dan Jun 2021 berdasarkan nasihat firma perunding antarabangsa Ernst & Young Consulting Sdn Bhd, melibatkan lebih 50 profesional industri dan pakar bebas dari lebih 10 negara,” menurut jawapan bertulis itu lagi.


Terdahulu, Lim Lip Eng (PH – Segambut) mahu Menteri Kewangan menyatakan proses pemberian kontrak 5G bernilai RM11 bilion kepada Ericsson, memandangkan anggaran penyediaan sistem oleh Pasukan Petugas Khas 5G Kebangsaan hanya RM7.5 bilion.

Selain itu, beliau mahu mengetahui sekiranya ada tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tentang pemberian kontrak tersebut.

MoF berkata, berdasarkan tiga kriteria utama – teknikal dan keupayaan (55%); komersial (30%); dan sosio-ekonomi (15%), Ericsson telah mendapat penilaian tertinggi.

“Dari segi teknikal, Ericsson telah mencadangkan rangkaian kalis masa hadapan (future-proof) dan mampan, dengan fungsi keselamatan siber yang jitu untuk memenuhi objektif DNB mencapai liputan 80 peratus kawasan berpopulasi pada 2024.

“Daripada segi kos, Ericsson telah menawarkan harga paling kompetitif, manakala daripada segi sosio-ekonomi, Ericsson telah memberi komitmen kepada program pembangunan sosio-ekonomi paling berimpak, termasuk penggunaan vendor tempatan dan Bumiputera,” menurut jawapan itu lagi.

Mengenai kos keseluruhan RM11 bilion, MoF berkata, jumlah itu adalah RM700 juta lebih rendah berbanding jumlah kos pembida terhampir selepas Ericsson, namun harga pembandingan pembida tidak boleh dinyatakan atas sebab obligasi kerahsiaan.

MoF berkata, RM4 bilion melibatkan kos perkakasan rangkaian, perkhidmatan pelaksanaan, serta penyenggaraan berterusan dan pengurusan rangkaian oleh Ericsson, yang terendah dalam kalangan pembida.

RM7 bilion pula, kata kementerian, berkaitan kos infrastruktur rangkaian pihak lain seperti kos menara telekomunikasi, gentian telekomunikasi, kuasa elektrik, serta lain-lain kos untuk tempoh 10 tahun.

MoF berkata, SPRM bebas menjalankan siasatan sekiranya terdapat bukti salah laku dalam proses tender 5G, tetapi MoF tidak bersetuju jika SPRM diminta menjalankan siasatan herdasarkan prejudis semata-mata.