6,145 kes baharu COVID-19 hari ini, terendah dalam tempoh 3 bulan

Astro Awani
Oktober 17, 2021 07:26 MYT
Pertambahan jangkitan baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 yang dikesan di Malaysia adalah 2,390,687. - Gambar fail BERNAMA
KUALA LUMPUR: Negara merekodkan 6,145 jangkitan baharu wabak COVID-19 dalam tempoh 24 jam lalu.
Angka yang direkodkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini merupkan jangkitan harian terendah dalam tempoh lebih tiga bulan lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan kes baharu itu menjadikan kumulatif kes COVID-19 yang dikesan di Malaysia adalah 2,390,687 kes.
Pada 4 Julai lalu, 6,045 jangkitan baharu COVID-19 dilaporkan.
"Daripada 6,145 kes harian yang dilaporkan pada hari ini,142 kes (2.3 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5; dan
6,003 kes (97.7 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2," memetik kenyataan media harian beliau.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan, sejumlah 9,231 kes sembuh dilaporkan hari ini.
Pesakit yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) ketika ini adalah seramai 682 kes sementara 281 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.
Mengulas berkenaan kluster COVID-19 pula, Dr Noor Hisham berkata, terdapat sembulan kluster baharu dilaporkan hari ini sekali gus menjadikan jumlah kluster aktif pada ketika ini adalah 676 kluster.
Maklumat terperinci dimuat naik ke laman COVIDNOW: covidnow.moh.gov.my
#Dr Noor Hisham Abdullah #jangkita baharu COVID-19 #COVID-19 #kes COVID-19 harian