KAPAR: Sebanyak 62 lokaliti di daerah Klang berisiko terdedah dengan banjir susulan fenomena air laut pasang besar dan monsun timur laut yang sedang berlaku pada bulan ini sehingga Disember depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Klang Shahman Jalaludin berkata situasi yang akan membabitkan lebih 10,000 penduduk itu, akan melibatkan antaranya kawasan Kampung Telok Gong, Sungai Serdang, Kampung Tok Muda dan Pulau Indah.

"Ada 62 kawasan risiko di Klang yang kita kenal pasti berisiko untuk banjir, namun ia akan berlaku sekiranya air pasang besar itu bertembung dengan air hujan.

"Macam kita tengok semalam, walaupun berlaku air pasang besar tetapi tidak hujan dan keadaan masih terkawal. Cuma kerisauan kita pada apabila bulan Oktober dan November kerana pada waktu itu hujan akan bertembung air pasang besar. Potensi berlaku (banjir) itu lebih tinggi," katanya kepada media selepas meninjau beberapa ban di Jeti Pengkalan Tok Muda, hari ini.

Shahman berkata berdasarkan laporan tinjauan cuaca bagi tempoh September 2022 hingga Februari 2023 yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia, Selangor dijangka akan menghadapi peralihan monsun barat daya kepada monsun timur laut.

"Peralihan monsun ini dijangka akan membawa kepada peningkatan jumlah penerimaan hujan di antara 100 hingga 400 milimeter secara purata mulai pertengahan bulan ini dan berisiko terjadinya bencana banjir.

"Pada tempoh sama, fenomena air pasang besar dijangka berlaku di kawasan persisir laut sepanjang Pelabuhan Klang. Berdasarkan ramalan dikeluarkan Pusat Hidrografi Nasional di Pulau Indah, paras air laut tertinggi dijangka mencapai paras 5.5 meter," katanya.

Beliau berkata kedua-dua fenomena tersebut boleh menyebabkan air laut melimpah masuk ke sekitar kawasan penempatan dan membawa kepada risiko bencana banjir di kawasan penempatan penduduk.

Susulan itu, Shahman meminta mereka yang tinggal berdekatan atau terdedah dengan risiko banjir, untuk sentiasa peka dengan situasi serta cuaca dan mematuhi arahan sekiranya diarah berpindah oleh pihak berkuasa.

Shahman berkata jawatankuasa itu turut merangka pelaksanaan program pemerkasaan komuniti seperti menubuhkan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komuniti (CERT), yang melibatkan pelbagai peringkat komuniti setempat.

"Pasukan CERT ini akan diberikan latihan dan kemahiran asas pengurusan bencana peringkat komuniti oleh agensi kerajaan, antaranya Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam dan Polis Diraja Malaysia, yang akan dilaksanakan pada 18 Sept ini di Taman Sri Muda manakala 24 dan 25 Sept di Pulau Ketam," katanya.

-- BERNAMA