KUALA LUMPUR:Pasukan Petugas Operasi Pematuhan diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 63,635 pemeriksaan bagi memantau pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pada Ahad.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, antara kesalahan yang dikesan ialah tiada penjarakan fizikal, tidak memakai pelitup muka, premis beroperasi lebih masa, keluar rumah tanpa alasan munasabah dan merentas daerah dan negeri tanpa kebenaran.

Berikut lima perkara penting kenyataan media Ismail Sabri pada Isnin.

1) Seramai 950 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP dengan 838 dikompaun, 93 individu direman, 19 lagi dijamin.

2) Pihak berkuasa melalui Op Benteng tangkap 24 PATI, rampas dua buah kenderaan darat, dua buah kapal atau bot.

3) Sebanyak 540 Sekatan Jalan Raya (SJR) dijalankan di seluruh negara.

4) Seramai 7,139 pekerja warga asing jalani ujian saringan, 66 dikesan positif COVID-19.

5) Penguat kuasa CIDB periksa 11 tapak bina, semua patuhi SOP.