Sebanyak 63 kematian akibat denggi direkodkan di seluruh negara bagi tempoh 1 Jan hingga 4 April tahun ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata bagi tempoh itu 26,107 kes demam denggi dilaporkan di seluruh negara dan sekiranya tindakan pencegahan dan kawalan tidak diambil, ia dipercayai mampu menjadi ancaman besar kepada masyarakat dan negara.

"Sehubungan itu sempena Hari Kesihatan Sedunia tahun ini saya berharap rakyat Malaysia dapat meningkatkan kesedaran tentang ancaman denggi terutamanya nyamuk Aedes, pembawa penyakit bahaya yang boleh membunuh," katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.

Hari Kesihatan Sedunia disambut hari ini dengan tema 'Gigitan Kecil, Ancaman Besar' yang merujuk kepada ancaman nyamuk Aedes.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan lebih 2.5 bilion orang iaitu lebih 40 peratus daripada penduduk dunia kini berisiko dijangkiti denggi dan kira-kira 50 hingga 100 juta jangkitan denggi di seluruh dunia dijangka berlaku setiap tahun.

"Ini jelas menunjukkan demam denggi telah menjadi beban global yang tinggi dan menunjukkan kadar peningkatan beban yang sangat cepat," kata Subramaniam.