KUALA LUMPUR: Sejumlah 638 kes bunuh diri dilaporkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata ia merupakan peningkatan 58.9 peratus berbanding 262 kes bagi tempoh sama pada tahun 2020.

"Sumber data daripada PDRM mendapati bilangan kes bunuh diri yang dilaporkan adalah sebanyak 631 kes bagi tahun 2020, berbanding 609 kes bagi tahun 2019 iaitu peningkatan sebanyak dua peratus," katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Jelasnya, terdapat beberapa faktor penyumbang kepada kes bunuh diri yang dilaporkan PDRM sepanjang tahun 2020.

"Pelbagai faktor seperti isu psikososial dan persekitaran, isu kewangan (kehilangan sumber pendapatan atau pekerjaan), penyakit mental seperti kemurungan atau penyakit mental yang lain, kurang sokongan sosial dan penyalahgunaan substans.

"Sebahagian daripada faktor-faktor ini adalah di luar jangkauan KKM," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan V. Sivakumar (PH-Batu Gajah) yang ingin tahu jumlah kes bunuh diri yang berlaku di negara sejak bermulanya pandemik COVID-19 selain menyatakan sebab-sebab peningkatan jumlah kes bunuh diri dan langkah-langkah yang telah diambil untuk menanganinya.

Menurut Khairy, antara langkah yang telah dilaksanakan KKM bagi membendung tingkah laku bunuh diri termasuk mewujudkan talian bantuan sokongan psikososial dengan kerjasama badan bukan kerajaan seperti MERCY Malaysia, meneruskan perkhidmatan kesihatan mental, penambahan 200 orang Pegawai Psikologi Kaunseling kontrak dan pelbagai lagi.