Seramai 673 individu dikompaun pada Isnin kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Ismail Sabri, itu jumlah terbesar individu yang dikenakan kompaun dalam masa sehari sejak PKPP dikuatkuasakan.

Selain itu, seramai 778 individu pula ditahan kerana melanggar arahan PKPP dan 600 daripadanya ditahan kerana melakukan aktiviti di pub serta kelab malam.

Dalam masa sama, Ismail Sabri menegaskan, jumlah yang ditahan itu juga adalah terbesar setakat ini sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

"Mereka yang ditahan itu membabitkan 98 individu direman; tujuh diikat jamin dan 673 individu dikenakan kompaun. Ini jumlah terbesar dikenakan kompaun dalam masa satu hari.



"Kebanyakan mereka yang ditahan ini, paling ramai melakukan aktiviti pub dan kelab malam. Ini menunjukkan keingkaran rakyat semakin bertambah, mungkin mereka merasakan PKP sudah tidak ada dan tidak perlu patuh prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan," katanya dalam sidang media pada Isnin.

Ismail Sabri turut menjelaskan, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM terus mempertingkatkan pemeriksaan serta mengambil tindakan ke atas pemilik premis dan orang awam yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKPP yang ditetapkan.

Katanya, PDRM juga telah membuat 63 Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng dan memeriksa 29,870 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin terutamanya di lorong-lorong tikus.

Beliau berkata, PDRM telah berjaya menahan seorang warganegara asing di Sekatan Jalan Raya atas kesalahan imigresen.