KUALA LUMPUR: Sejumlah 67,944 unit kediaman di bawah projek Residensi Wilayah Keluarga Malaysia membabitkan 104 projek di Wilayah Persekutuan telah mendapat kelulusan pembinaan sehingga Mei lepas, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 97 projek adalah di Kuala Lumpur, tiga di Putrajaya dan empat lagi di Labuan.

Ismail Sabri berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penyerahan kunci kediaman kepada pemilik unit Residensi SkyAwani 3 di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Projek dibina syarikat SkyWorld di bawah Residensi Wilayah Keluarga Malaysia itu menawarkan sejumlah 1,905 unit kediaman berkeluasan 800 kaki persegi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air pada harga RM300,000 seunit.

Menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Wilayah Persekutuan atas usaha menyediakan rumah mampu milik terutama kepada kumpulan B40 dan M40, Perdana Menteri turut menyambut baik komitmen pihak pemaju dalam membantu merealisasikan aspirasi kerajaan menyediakan kediaman itu untuk warga kota khasnya.

Perdana Menteri berkata kerajaan juga akan sentiasa memastikan kediaman ditawarkan kepada Keluarga Malaysia memenuhi keperluan semasa serta persekitaran yang selesa, kondusif, mesra keluarga dan praktikal selain mampu dimiliki sejajar dengan wawasan Satu Keluarga Satu Rumah.

"Justeru kerajaan melalui Rancangan Malaysia Ke-12 serta Majlis Perumahan Mampu Milik Negara telah menggariskan langkah-langkah segera dan jangka panjang untuk merealisasikan hasrat tersebut.

"Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga telah memperkenal Home Ownership Programme atau HOPE bagi melihat ekosistem lebih menyeluruh dalam penyediaan perumahan, pembiayaan perumahan serta program-program yang dapat membantu Keluarga Malaysia untuk memiliki rumah sendiri," katanya.

Bagi membantu golongan warga kota berpendapatan rendah, beliau berkata Kementerian Wilayah Persekutuan turut memperkenal program baharu iaitu rumah untuk disewa sebagai transit yang dikenali sebagai Council Home dengan sasaran pembinaan sebanyak 5,000 unit dalam tempoh lima tahun di antara tahun ini hingga 2027.

"Ini bagi membantu golongan berpendapatan rendah B40 menyewa mengikut kemampuan sebelum mampu membeli rumah sendiri," katanya.

Ismail Sabri turut menyaksikan penyerahan sijil Malaysia Book of Records kepada SkyWorld bagi Anugerah SkyBridge Kediaman Tertinggi di Malaysia dengan ketinggian 170.55 meter yang dibina di Residensi SkyAwani 3.

Setakat ini, SkyWorld telah menjual sejumlah 6,236 unit kediaman Residensi Wilayah Keluarga Malaysia di bawah projek SkyAwani 1 hingga 5.

-- BERNAMA