KUANTAN: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang merekodkan sebanyak 68 kes pelbagai kesalahan melibatkan hutan bermula Januari hingga November lepas, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata dalam tempoh yang sama, jabatan berkenaan telah mengutip lebih RM1.7 juta kompaun dan ganti rugi daripada pihak terlibat.

"Sehingga November, luas kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) adalah 1.597 juta hektar manakala luas kawasan berhutan berjumlah 2.039 juta hektar iaitu 57 peratus daripada jumlah keluasan keseluruhan negeri ini," katanya.

Wan Rosdy berkata demikian pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini, bagi menjawab pertanyaan Datin Samsiah Arshad (BN-Bukit Ibam) mengenai keluasan HSK dan tindakan serta nilai denda dikenakan terhadap penceroboh hutan.

Ketika menjawab soalan tambahan Andansura Rabu (PAS-Beserah) yang ingin tahu sama ada kerajaan negeri mempunyai sasaran untuk mengekalkan kawasan hutan, Wan Rosdy berkata pihaknya menyasarkan 60 peratus kawasan berhutan di negeri ini dalam memastikan kelestarian alam dan kepentingan generasi akan datang.

Pada persidangan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin yang menjawab soalan Mohd Sharim Md Zain (BN-Chini) memaklumkan Jawatankuasa Khas Tindakan Pemulihan Tasik Chini telah ditubuhkan bagi menyelaras tindakan pemulihan.

Di samping itu, beliau berkata kerajaan negeri turut bersetuju meluaskan lagi kawasan Rizab Biosfera Tasik Chini (TCRB) daripada 6,922 hektar kepada 9,147 hektar selain sebahagian besar dari kawasan baharu TCRB akan diwartakan sebagai HSK Chini bagi memastikan ia tidak lagi diteroka pada masa akan datang.

Langkah pemuliharaan akan terus dilaksanakan sebelum mempromosikan kawasan berkenaan kepada umum selepas ia dilengkapi infrasturuktur yang sesuai untuk dikunjungi, katanya.

-- BERNAMA