KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan terus berusaha untuk mendapatkan semula aset membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki, sehingga kini jumlah keseluruhan aset yang telah berjaya dikembalikan adalah sebanyak RM28.93 bilion iaitu lebih 70 peratus.

"Duit yang hilang sebenarnya RM42 bilion dan yang dapat dipulangkan hampir RM29 bilion sekarang ini dan baki 30 peratus kita sedang cuba mengesan.

"Pengesanan aset masih lagi diteruskan dan tidak akan dihentikan malah ada lagi beberapa tempat di negara-negara luar di mana usaha pihak SPRM untuk mengesan aset-aset ini dan di sinilah kepakaran dan kerjasama daripada agensi-agensi lain diperlukan," katanya.

Minggu lalu, Kementerian Kewangan (MOF) mengumumkan syarikat milik Abu Dhabi International Petroleum Investment Company (IPIC) dan Aabar Investments PJS telah bersetuju untuk membayar AS$1.8 bilion untuk menyelesaikan pertikaian undang-undang mereka berhubung kes 1MDB.

Mengulas lanjut, Azam berkata, dalam pemulangan semula wang 1MDB, SPRM merupakan salah satu agensi utama dalam membantu mendapatkan kembali aset-aset.

"Kami menjalankan siasatan, mengemukakan fakta dan mengeluarkan waran tangkap untuk menuduh mana-mana pihak yang terlibat dalam kes 1MDB.

"Ini merupakan satu kejayaan di mana kami sebagai salah satu agensi terlibat melalui pasukan khas selain agensi seperti MOF, Jabatan Peguam Negara dan yang lain," ujarnya.