Sebanyak 73 peratus daripada 23,929 pengundi biasa keluar mengundi apabila kesemua 11 pusat mengundi bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor ditutup pada 5 petang ini.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pengiraan undi akan dilakukan di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Biji Wangsa di sini dan keputusan dijangka diumum seawal 9 malam ini.

PRK itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mat Razi Mat Ail, calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.

PRK itu diadakan ekoran kematian wakil rakyat DUN itu daripada BN Datuk Noor Zahidi Omar pada 20 Ogos lepas.

Pada pilihan raya umum ke-13 pada Mei tahun lalu, Noor Zahidi mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon bebas, Izat Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.