KUALA LUMPUR: Sebanyak 74 peratus responden dalam satu kaji selidik yang dijalankan Higher Education Malaysia Association (HEYA) bersama Kajian pusat penyelidikan swasta, Centre for Governance and Political Studies (Cent-GPS) didapati bersetuju dengan penglibatan anak muda dalam politik.

Tinjauan itu melibatkan seramai 839 pelajar sepenuh masa dari 39 institusi pengajian tinggi di seluruh Malaysia.

Responden dipilih secara rawak mengikut jantina, tahun pengajian, universiti dan negeri namun, kajian tersebut tidak melibatkan pelajar sarjana dan doktor falsafah (PhD).

Tempoh pelaksanaan kajian ini bermula dari  19 Julai sehingga 10 Ogos 2021.


Kaji selidik berkenaan turut mendapati 31 peratus merasakan kebajikan kampus akan ditingkatkan jika pelajar dibenarkan untuk menyertai politik.


Selain itu 57 peratus daripada responden tidak merasakan penglibatan pelajar dalam arena politik akan menjejaskan prestasi mereka dalam pengajian malah meluaskan lagi perspektif seorang pelajar itu.

Kaji selidik tersebut turut mendapati penglibatan pelajar dalam politik akan meningkatkan perspektif mereka, mendedahkan pelajar kepada pelbagai pendapat dan dapat menyumbang idea yang lebih terbuka.

Bak kata peribahasa, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara, penglibatan belia dalam aktiviti politik dan sosial bukanlah suatu perkara baharu. 

Lihat sahaja di negara Asia Tenggara lain, golongan belia sudah lama berjuang untuk menuntut dan mempertahankan hak bersuara mereka.

Ini kerana menerusi penglibatan politik, pelajar dapat beradaptasi dan mereka diberi kuasa untuk mengadvokasi sistem pendidikan tinggi yang lebih baik dan masa depan yang menjanjikan untuk negara.

Tinjauan ini hasil kerjasama Cent-GPS dengan Higher Education Malaysia Association (HEYA), Naratif Malaysia, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), dan juga disokong Malaysia Reform Initiative (MARI).