GUA MUSANG: 77 pelajar Orang Asli suku kaum Temiar di Pos Tohoi, Gua Musang, Kelantan dibawa keluar menggunakan kenderaan pacuan empat roda bagi memulakan sesi persekolahan pada Ahad.

Usaha itu dilakukan oleh pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bersama pemimpin kampung serta kontraktor pengangkutan pelajar Orang Asli apabila terdapat ibu bapa masih bimbang dengan wabak COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Tohoi, Ajeh Baharom berkata, pandemik COVID-19 menyebabkan ada ibu bapa yang hampir setahun tidak membenarkan anak mereka ke sekolah.

Namun selepas dipujuk akhirnya mereka kembali membenarkan anak mereka ke sekolah dan tinggal di asrama.

"Harapan saya sebagai ketua dan ibu bapa agar pihak sekolah dan cikgu jagalah mereka sebaik mungkin dari segi pendidikan dan apabila mereka berada di asrama, mereka selesa belajar dengan terbaiklah.

"Itu harapan ibu bapalah. Saya ingat COVID-19 masih lagi tinggi saya ingat setahun lebih sudah tidak pergi ke sekolah," katanya.

Bagi seorang bapa, Nordi Baharom pula, dia berharap pihak sekolah akan menjaga anaknya dengan baik selain mengamalkan SOP yang ketat.

"Gangguan dengan penyakit kita hari ini, jadi pihak ibu bapa sukar mahu lepaskan anak-anak tapi terpaksa demi masa depan mereka.

"Jadi kita harap kalau sudah lepas dari rumah, kita harap pihak sekolah sambung balik keselamatan anak kita, keselamatan semua ketika penyakit ini," katanya.

Seorang ibu, Salmah Jaber berkata, tiada apa selain doa sahaja dapat dibekalkan kepada anaknya ketika berada di sekolah.

"Kita suka sangat cuma kita nak doa sajaja anak-anak kita sihat belaka pergi sekolah sana.

"Harap cikgu jaga sana, macam itulah perasaan kita," katanya.

Sementara itu bagi kontraktor pengangkutan yang mengambil pelajar Orang Asli, mereka berdepan cabaran apabila melalui jalan balak yang licin ketika cuaca hujan.

"Hari ni cuaca kurang baik sikit jadi kita menghadapi cabaran sikitlah untuk mengambil pelajar-pelajar Orang Asli di Pos Tohoi.

"Saya bersama rakan-rakan saya, kita ambil pelajar dengan cabaran sikit. Ada di kawasan pedalaman kita tidak dapat ambil contohnya di Pos Gob dan Pos Simpor disebabkan jalan itu terputus," kata Mohd Kamarudin Awang.

Pelajar tingkatan 1 hingga 5 itu dibawa ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panggung Jaya dan SMK Tengku Indra Petra 1.