Keadaan banjir di Johor masih belum reda dengan bilangan mangsa meningkat kepada 8,130 orang di 73 pusat pemindahan setakat 6 pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata pada pukul 10 malam tadi, 8,045 orang berada di pusat pemindahan.

Mereka merupakan penduduk daerah Segamat, Kota Tinggi, Kluang, Muar dan Tangkak.

"Di Segamat, mangsa yang berada di 54 pusat berjumlah 6,206 orang daripada 1,781 keluarga berbanding 6,213 orang daripada 1,783 keluarga malam tadi.

"Di Tangkak, seramai 1,534 orang daripada 392 berada di 12 pusat; Kota Tinggi (lima orang daripada tiga keluarga di sebuah pusat); Kluang (211 mangsa daripada 56 keluarga di empat pusat) dan Muar (174 mangsa daripada 45 keluarga di dua pusat)," katanya dalam satu kenyataan.

Ayub berkata setakat ini hanya daerah Johor Bahru, Mersing dan Batu Pahat yang telah ditutup pusat pemindahannya.

Daerah Kulai dan Pontian tidak terjejas dengan banjir.

-- BERNAMA