KUALA LUMPUR: Sebanyak 81 peratus daripada pekerja pejabat di Malaysia menyatakan bahawa mereka lebih memilih untuk kembali ke pejabat, menurut kaji selidik terkini yang diterbitkan oleh Savills, antara penasihat hartanah terkemuka dunia.

Kaji selidik itu bertajuk "What Workers Want"- Malaysia" mendapati bahawa walaupun model kerja hibrid dilihat menjadi teras utama di Malaysia pada masa depan, lebih 90 peratus daripada responden percaya bahawa perkara seperti kreativiti dan kerjasama, mencapai sasaran kerja dan pertumbuhan kerjaya, langkah terbaik dicapai dalam persekitaran pejabat.

Timbalan Pengarah Urusan Savills Malaysia, Nabeel Hussain berkata, dengan Malaysia keluar daripada pandemik selama dua tahun, perniagaan turut mula dibuka.

Oleh itu, katanya, pejabat fizikal kekal penting dalam pemulihan perniagaan dan memastikan dapat kembali kepada keadaan normal dengan cepat.

"Mendapati bahawa model kerja hibrid dilihat akan kekal di sini, keseimbangan antara keperluan perniagaan dan ekonomi serta keutamaan pekerja merupakan penyelesaian yang ideal dan itu yang perlu diberi tumpuan oleh syarikat dalam tempoh pembukaan semula ini.

"Persekitaran pejabat fizikal mungkin perlu dipertingkatkan oleh faktor lain untuk menjadikan kembali ke tempat kerja dalam persekitaran semasa lebih menarik.

"Wujudnya penyelesaian perkakasan dan perisian yang kukuh adalah lebih penting berbanding sebelum ini dan merupakan faktor utama untuk menyokong persekitaran kerja yang semakin berkembang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengarah Bersekutu Savills Malaysia Research, Fong Kean Hwa berkata, kebanyakan pekerja ingin kembali ke pejabat berikutan mereka percaya pergi ke pejabat memberi manfaat kepada kesihatan fizikal dan mental mereka, sekali gus menyokong pembangunan profesional dan peribadi mereka.

Savills telah menjalankan kaji selidik "What Workers Want" selama lebih 10 tahun di United Kingdom (UK) dan negara-negara Eropah yang lain untuk mengukur pandangan pekerja di pejabat.

Pendekatan sama telah digunakan dalam konteks Malaysia untuk kaji selidik "What Workers Want", yang dijalankan dalam tempoh enam minggu untuk memahami apa yang pekerja Malaysia mahukan apabila mereka kembali ke pejabat.

Dapatan kaji selidik mengenai parameter utama produktiviti menunjukkan bahawa pekerja di Malaysia berpendapat, produktiviti mereka adalah sama sama ada bekerja dari rumah atau di pejabat, berbanding di EMEA apabila pekerja berpendapat mereka lebih produktif di rumah.

"Walaupun produktiviti kekal tinggi, 30 peratus daripada responden menyatakan bahawa keletihan dari segi mental dan fizikal akibat aturan bekerja dari rumah manakala lebih satu pertiga menyatakan mereka menghadapi peningkatan waktu kerja akibat kekaburan mengenai kerja dan sempadan rumah.

"Ramai rakyat Malaysia masih melihat pejabat fizikal memainkan peranan penting, terutamanya untuk pertumbuhan profesional dan kerja secara usaha sama," katanya.

Bagi laporan kaji selidik penuh, layari what-workers-want-survey.pdf (savills.asia).  - BERNAMA