KUCHING: Seramai 82 Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak dan 89 orang petugas media diarahkan menjalani ujian RTK-Antigen di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di Kuching, pada Sabtu.

Prosedur itu adalah sebagai protokol kesihatan kepada semua individu yang terlibat dan membuat liputan Mesyuarat Pertama bagi Penggal Pertama DUN Sarawak Ke-19 minggu depan.

Antara yang hadir menjalankan saringan ujian RTK-Antigen hari ini ialah wartawan, jurugambar, unit kejuruteraan, audio dan visual.

Selain petugas media, kesemua 82 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) turut menjalani ujian saringan COVID-19 dua hari sebelum persidangan bermula selain digalakkan menjalankan ujian saringan kendiri RTK Antigen setiap hari.

Berdasarkan panduan prosedur operasi standard (SOP) yang disediakan Unit Pentadbiran Am dan Bangunan DUN Sarawak, pengesahan ujian akan diisi melalui borang maklumat ujian kendiri untuk diserahkan kepada sekretariat DUN sebagai bukti.

“Prosedur kesihatan ini berkuat kuasa kepada setiap individu yang hadir merangkumi persidangan DUN, mesyuarat jawatankuasa-jawatankuasa pilihan, dan semua urusan rasmi kerajaan yang dijalankan di DUN,” jelas panduan berkenaan.

Sementara itu, beberapa aktiviti dan protokol pelaksanaan persidangan masih perlu mematuhi SOP yang disyorkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).

“Pemeriksaan suhu badan di pintu masuk masih dilakukan bagi mengesan individu yang bergejala, hanya individu yang telah menerima vaksinasi lebgkap sahaja dibenarkan masuk.

“Penggunaan aplikasi MySejahtera adalah diwajibkan dan pengguna hendaklah mengemaskini status risiko COVID-19 di paparan “Update My COVID-19  Risk Status,” sebelum mendaftar masuk secara harian,” katanya.

Persidangan DUN Sarawak yang berlangsung 14 hingga 16 Februari ini adalah yang pertama selepas Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12), Disember lalu.

Persidangan kali ini akan menyaksikan pertemuan seramai 76 ADUN daripada GPS dan enam ADUN daripada blok pembangkang masing-masing dua ADUN daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP), dan empat ADUN daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB).