SHAH ALAM: Ahli Dewan Diraja Selangor Tengku Datuk Setia Ramli Alhaj Tengku Shahruddin Shah Alhaj adalah antara 87 penerima Darjah dan Bintang Kebesaran sempena ulang tahun Hari Keputeraan yang ke-76 Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam.

Sultan Selangor berkenan mengurniakan Darjah Kerabat Kedua (D.K II) kepada Tengku Ramli Alhaj yang juga merupakan Ahli Perbadanan Wakaf Selangor dan Ahli Pemegang Amanah Yayasan Raja Tun Uda.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali pula dikurniakan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S) yang membawa gelaran 'Datuk Seri'.

Seramai tujuh penerima dikurniakan Darjah Kebesaran - Datuk Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S) yang membawa gelaran 'Datuk' bagi ahli lelaki dan 'Datin Paduka' bagi ahli wanita antaranya Duta Besar Malaysia ke Belgium Datuk Ahmad Rozian Abd Ghani; Duta Besar Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) Mohd Tarid Sufian dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kanada Anizan @ Siti Hajjar Adnin.

Turut menerima Darjah Kebesaran D.P.M.S adalah Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Mohd Syafiq Abdullah, Timbalan Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Markas Tentera Darat Mej Jen Anuar Mohamad Ali dan Panglima Wilayah Laut 1 (Kuantan) Tentera Laut Diraja Malaysia Laksamana Muda Datuk Zulhelmy Ithnain.

Darjah Kebesaran Datuk - Sultan Sharafuddin Idris Shah (D.S.I.S) yang turut membawa gelaran 'Datuk' bagi ahli lelaki dan 'Datin Paduka' bagi ahli wanita, dikurniakan kepada sembilan individu antaranya Ketua Pengarah Pergigian Markas Tentera Darat Brig Jen Dr Mohd Rosli Majid, Pegawai Memerintah 94 HAT, Kem Terendak Brig Jen Dr Mohamed Hatta Manis dan Panglima Pasukan Khas Laut (Lumut), Markas Tentera Laut Laksamana Pertama Redzuan Talib.

Turut menerima Darjah Kebesaran D.S.I.S ialah Juruiring Tentera Kepada Sultan Selangor Kepten Ahmad Ramli Kardi, Pengarah Hospital Serdang Dr Rohana Johan, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) Prof Madya Dr Mohd Farid Ravi Abdullah, Lembaga Pemegang Amanah, Lembaga Zakat Selangor Dr Abdul Rahman Abdullah, Pengarah Urusan Sunway Healthcare Group Lau Beng Long dan Pengarah Urusan Segi Value Holdings Sdn Bhd Chui Ah Hock.

Sultan Sharafuddin turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran- Setia Mahkota Selangor (S.M.S) kepada 19 penerima antaranya Pakar Perubatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang Dr Kartini Md Ariff, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Selangor Rahilah Rahmat dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Selangor Hazman Che Mohamed.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor Hafisham Mohd Noor, Penolong Pesuruhjaya (Ketua Siasatan Negeri-KSN) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Negeri Selangor Adi Supian Shafie dan Pakar Perubatan Forensik dan Ketua Jabatan Hospital Serdang Dr Khairul Anuar Zainun merupakan antara 14 individu yang terpilih untuk dianugerahkan Darjah Kebesaran Setia - Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.I.S).

Sempena ulang tahun keputeraan itu juga, Sultan Selangor berkenan untuk mengurniakan Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (A.M.S) kepada 15 penerima dan Darjah Kebesaran Ahli - Sultan Sharafuddin Idris Shah (A.I.S) kepada 14 orang.

Seramai tujuh individu turut dikurniakan Bintang Perkhidmatan Cemerlang (B.P.C) sempena ulang tahun keputeraan baginda.

Tarikh untuk majlis istiadat penganugerahan Darjah dan Bintang Kebesaran serta Pingat tersebut akan dimaklumkan kemudian.

-- BERNAMA