KUALA LUMPUR: Tiga guru dan enam pelajar masing-masing di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pendang dan MRSM Sultan Azlan Shah di Kuala Kangsar disahkan positif COVID-19.

Di KEDAH, Pengarah Kesihatan negeri, Dr Othman Warijo, berkata MRSM Pendang ditutup selama tiga hari, namun asrama tetap dibuka dengan pelajar masih tinggal di situ.

Katanya, semua guru terbabit diarahkan menjalani perintah pengawasan di rumah (HSO).

"Dua daripada guru tinggal di taman perumahan di luar sekolah manakala seorang lagi tinggal di kuarters MRSM.

“Seramai 30 guru dikenal pasti sebagai kontak rapat dan mereka turut menjalani HSO.

"Bagaimanapun, pelajar tidak pulang ke rumah masing-masing dan akan tetap berada di asrama," katanya dihubungi Astro AWANI.

Dr Othman memaklumkan, kes positif membabitkan guru berkenaan dikesan antara 26 November lalu hingga hari ini.

Jelas beliau, MRSM berkenaan dinasihat ditutup sementara bermula esok untuk proses sanitasi selain untuk bagi tujuan siasatan lanjut.

Sementara itu, di PERAK, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak Mohd Akmal Kamarudin, berkata enam yang disah positif COVID-19 ialah pelajar Tingkatan Lima.

Menurutnya kes berkenaan berlaku pada 29 November lalu dan ia dimasukkan di bawah Kluster Jalan Kuala Kangsar, Gerik, lapor Bernama.

Katanya, berkata beliau masih menunggu laporan secara terperinci daripada Kementerian Pendidikan, KKM dan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

"Kes ini sedang disiasat dan setakat ini segala bentuk tindakan kita serahkan kepada Kementerian Pendidikan," katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Penyerahan Bantuan Mahasiswa Perak 2.0 peringkat Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kurau di sini hari ini.