SEBERANG PERAI: Seramai 93 mangsa banjir masih ditempatkan di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Pulau Pinang setakat Ahad.

Pengerusi Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh memaklumkan dua PPS yang masih dibuka adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Lahar Yooi dan Dewan Banjir Desa Puri masing-masing di Tasek Gelugor manakala PPS SJKC True Light di Juru sudah di tutup 1.30 petang tadi.

Phee berkata daripada jumlah itu, 39 mangsa di PPS  Desa Puri, dan 54 mangsa di PPS SK Lahar Yooi.

“Mengikut laporan yang diterima sejak jam 12 tengahari tadi, terdapat seramai 144 mangsa membabitkan 34 keluarga masih berada di ketiga-tiga PPS. Bagaimanapun PPS di SJKC True Light, Juru ditutup pada 1.30 petang tadi.

“Dalam pada itu, seramai 108 mangsa membabitkan 33 keluarga sudah pulang ke rumah masing-masing selepas keadaan mula pulih,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada Jumaat, hujan lebat di Pulau Pinang mengakibatkan beberapa kawasan di Seberang Perai mengalami banjir kilat.

Antara kawasan yang dinaiki air termasuk di Juru, Kampung Baru Alma, Berapit, Jalan Sukun dan Jalan Tembikai di Bukit Mertajam.

Berikutan situasi itu, beberapa kempen ceramah calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di negeri itu malam tadi terpaksa dibatalkan.

Sebanyak tiga pusat penempatan sementara banjir di buka iaitu dua di Bukit Mertajam, dan satu di Tasek Gelugor membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak 117 mangsa.