KUCHING: Sebanyak 425 daripada 449 kes kematian di Sarawak atau 94.6 peratus dikesan tidak ada sejarah menerima vaksin COVID-19.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS), Datuk Dr Mohamed Sapian Mohamed berkata, 21 kes kematian atau 4.7 peratus hanya menerima dos pertama ketika kes dikesan positif.

“Daripada jumlah itu, 425 kes kematian tidak mempunyai sejarah imunisasi COVID-19, manakala 21 kes kematian atau 4.7 peratus hanya menerima dos pertama ketika mereka dikesan positif.

“Hanya tiga kes kematian (0.7 peratus) telah menerima dos pertama dan kedua sebelum mereka dikesan positif tetapi di dalam tempoh 14 hari dari tarikh penerimaan dos terakhir.

“Ini bermakna setakat ini, Sarawak tidak mencatatkan sebarang kematian disebabkan oleh COVID-19 dalam kalangan individu yang telah lengkap menerima imunisasi COVID-19 (sekurang-kurangnya 14 hari selepas menerima dos lengkap vaksin),” jelasnya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut Dr Sapian, peningkatan liputan imunisasi COVID-19 terus memberi impak positif terhadap kadar kematian dan penyakit teruk akibat jangkitan COVID-19 di Sarawak.

Katanya, Sarawak telah mencapai liputan imunisasi COVID-19 tinggi dalam kalangan semua populasi dewasa yang layak melibatkan sebanyak 88.2 peratus bagi dos pertama dan 75.9 peratus bagi dos kedua setakat 8 Ogos 2021,” katanya.

JKNS dalam pada itu ingin menekankan bahawa imunisasi COVID-19 adalah selamat dan berkesan dalam mengurangkan risiko untuk mendapat penyakit yang teruk atau kematian, termasuk varian Delta atau VOC yang lain.

Walau bagaimanapun katanya, imunisasi ini tidak dapat mencegah sepenuhnya risiko untuk dijangkiti virus COVID-19 kerana ia masih boleh berlaku di sebilangan kecil individu yang telah lengkap imunisasi tetapi gejala yang dialami biasanya adalah ringan.

Sehubungan itu pihaknya memohon orang ramai yang layak dan masih belum menerima imunisasi COVID-19 iaitu sebanyak 11.8 peratus populasi di Sarawak agar mendapatkan imunisasi dan memastikan semua ahli keluarga dan kenalan juga mendapatkan imunisasi COVID-19 dengan segera.