LANGKAWI: Kes penyakit tuberkulosis (tibi) atau batuk kering yang dicatatkan di Malaysia pada tahun ini sehingga 4 Jun lalu dilaporkan adalah sebanyak 9,474 kes.

Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali memaklumkan ianya menunjukkan satu trend peningkatan iaitu sebanyak 13 peratus berbanding tempoh yang sama bagi tahun 2021.

Bagaimanapun, menurutnya, jika dibandingkan dengan tahun 2019 iaitu sebelum pandemik COVID-19, jumlah berkenaan mencatatkan penurunan sebanyak 11 peratus.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa aktiviti pengesanan kes tibi akan dipertingkatkan dengan pihak kementerian akan memperkukuhkan saringan golongan berisiko tinggi terutama dalam kalangan kontak kepada indeks kes tibi.

Tambah Azmi, saringan tibi turut dilakukan dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi seperti pesakit HIV, diabetes (kencing manis) dan penghuni institusi tahanan seperti yang dilakukan di Pusat Tahanan Imigresen di Belantik, Sik sebelum ini.

Ianya dilihat selaras dengan Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan sempena dengan Jelajah ANMS ini dengan tagline 'Jom Saring!' serta usaha Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mahu menghapuskan penyakit tibi menjelang tahun 2035.

"Bagi tahun 2022, sehingga hari terakhir tempoh epidemiologi (ME 22), jumlah kes tibi yang dilaporkan adalah sebanyak 9,474 iaitu peningkatan sebanyak 13 peratus berbanding tempoh sama pada 2021.

"Manakala jika dibandingkan dengan tahun 2019, terdapat penurunan sebanyak 11 peratus, walau bagaimanapun, jumlah kes tibi yang dilaporkan masih belum mencapai sasaran seperti dianggarkan WHO sebanyak 29,000 hingga 30,000 setahun," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Tibi Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 dan Pelancaran Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) di Telaga Walk, Jalan Pantai Chenang, Langkawi pada Sabtu.

Dalam perkembangan sama, Azmi turut menyeru orang ramai yang mempunyai simptom penyakit tibi seperti batuk yang berpanjangan melebihi dua minggu, demam, berpeluh waktu malam, kurang selera makan, susut berat badan dan batuk berdarah, untuk segera menjalani pemeriksaan dan rawatan di klinik kesihatan dan hospital yang berhampiran.