98,462 calon SJK Cina, Tamil duduki UPSR hari ini

Bernama
September 20, 2018 05:08 MYT
Menurut Timbalan Menteri Pendidikan, kementerian tidak akan berkompromi dan akan bekerjasama dengan semua agensi berkaitan menyiasat perkara itu sekiranya benar berlaku. - Gambar fail
Seramai 98,462 calon dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan SJK Tamil (SJKT) mula menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2018 di seluruh negara hari ini.
Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching berkata, jumlah itu merupakan sebahagian daripada keseluruhan 440,743 calon yang akan menduduki UPSR minggu depan, dari 24 September ini hingga 27 September.
"Saya berharap mereka dapat mencapai keputusan cemerlang dan apa yang lebih penting calon diingatkan bertenang agar dapat menjawab soalan dengan lancar," katanya selepas lawatan ke SJKC Balakong di sini, hari ini.
Dalam pada itu ditanya mengenai sekiranya berlaku kebocoran kertas soalan UPSR, Nie Ching berkata kementerian tidak akan berkompromi dan akan bekerjasama dengan semua agensi berkaitan menyiasat perkara itu sekiranya benar berlaku.
"Tapi, setakat ini memang tidak ada laporan kertas soalan UPSR bocor," katanya.
Pada tahun ini, 8,100 pusat peperiksaan dibuka melibatkan 54,253 petugas peperiksaan bagi memastikan kelancarannya.
#peperiksaan #sekolah #SJKC #SJKT #Teo Nie Ching #UPSR