KUCHING: Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Tan Sri Abang Johari Tun Openg enggan mengulas lanjut mengenai permohonan Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin menyertai parti itu.

Abang Johari yang juga Premier Sarawak dan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam jawapan ringkas pada sidang media selepas Persidangan Ekonomi Digital Antarabang Sarawak (IDECS) 2022 di Kuching tidak mahu menjawab berkaitan Willie.

“Hari ini soalan berkaitan IDECS sahaja. Tidak mahu yang berkaitan dengan Willie," katanya ringkas.

Terdahulu Willie mendedahkan beliau telah mengemukakan permohonan tersebut beberapa bulan yang lalu dan masih belum mendapat sebarang keputusan.

Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Douglas Uggah Embas sebelum ini juga telah menegaskan bahawa parti tersebut akan merebut semula kerusi tradisinya dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) kelak.

Pada PRU14 Willie telah menewaskan calon Barisan Nasional Jeannoth Sinnel dengan majoriti 4,005 undi sekali gus menyaksikan kekalahan pertama PBB dalam kerusi parlimen sejak tahun 1974.