GEDONG: Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah meluluskan peruntukan khas kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBN) bagi proses pembelian pil COVID-19.

Menurutnya, dana itu bagaimanapun akan disalurkan mengikut keperluan dengan mengambil kira jumlah pil yang ditempah.

Jelas Abang Johari, Sarawak ketika ini dalam fasa perbincangan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mendapatkan bekalan pil COVID-19 keluaran Pfizer.

“Ini kerana kita sudah bergerak ke fasa peralihan endemik, dan pil Pfizer telah dibenarkan oleh KKM,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Jelajah Ramadan di Gedong pada Sabtu.

Sehubungan itu, Sarawak telah membuat keputusan untuk mendapatkan bekalan pil jenis Pfizer untuk keguaan rakyat.

“Kita lihat bagaimana kesannya kepada mereka (pesakit) yang mempunyai gejala ringan, setakat ini tidak merunsingkan,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai peruntukan khas yang diluluskan itu, Abang Johari berkata ia akan disalurkan mengikut keperluan berdasarkan jumlah pil yang ditempah.

Sebelum ini Kerajaan Sarawak menyatakan hasratnya untuk membeli sendiri pil COVID-19, namun tidak dinyatakan secara spesifik jenis pil tersebut.