Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Openg yakin rakyat Malaysia akan membuat pilihan tepat dalam memilih kerajaan persekutuan untuk meneraju negara selama lima tahun lagi menerusi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Katanya, rakyat tahu pilihan tepat adalah perlu bagi memastikan proses pembangunan negara terus berlangsung dengan baik.

"Saya yakin rakyat akan membuat pilihan yang tepat untuk Malaysia," katanya mengulas pengumuman pembubaran Parlimen ke-13 yang berkuat kuasa hari ini oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Jumaat.

Ditanya mengenai manifesto Barisan Nasional (BN) Sarawak, Abang Johari yang juga Pengerusi BN negeri, berkata pelancaran peringkat negeri akan menyusuli pengumuman peringkat nasional.

Beliau berkata senarai calon juga akan diumumkan selepas pengumuman peringkat nasional.

"Untuk PRU14 kali ini semestinya kita mahu menyasarkan lebih banyak kerusi dimiliki (dimenangi) oleh calon BN," katanya.

-- BERNAMA