JOHOR BAHRU: Bekas Exco Kerajaan Negeri Johor Datuk Abd Latif Bandi, anaknya dan seorang perunding hartanah dilepas dan dibebaskan dari pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM35.7 juta, lima tahun lalu, hari ini.

Keputusan itu dibuat hakim Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Kamaruddin Kamsun selepas pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah kepada kes pendakwaan terhadap kesemua tertuduh Abdul Latif, 56, Ahmad Fauzan Hatim, 30, dan Amir Shariffuddin Abd Raub, 49.

Abdul Latif dan Amir Shariffuddin menghadapi 33 pertuduhan rasuah mengikut seksyen 28 (1) (C) Akta SPRM 2009 yang dibaca bersama seksyen 16(a)(B) akta sama.

Abdul latif turut menghadapi 13 pertuduhan dan masing-masing empat  pertuduhan bagi Amir Shariffudfin serta Ahmad Fauzan di bawah Seksyen 32(8)(c) serta Seksyen 89 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001.

Kamaruddin dalam penghakimannya berkata keputusan dibuat setelah mahkamah meneliti perbicaraan dan hujahan.

Mahkamah turut mengarahkan agar wang jaminan dipulangkan semula.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pengarah 1, Bahagian Perundangan dan Pendakwaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Abdul Latif dan Ahmad Fauzan diwakili barisan peguam yang diketuai Datuk Salehuddin Saidin.

Manakala Amir Shariffuddin diwakili Khairulazwad Sariman.

Sementara itu, Wan Shaharuddin dalam hujahnya berkata pihaknya akan meneliti keputusan yang diputuskan mahkamah terhadap ketiga-tiga tertuduh, dan akan memfailkan rayuan berhubung keputusan tersebut pada minggu ini.

Pada 26 Jun lalu, Mahkamah Sesyen menangguhkan keputusan kes dihadapi Abd Latif dan anak lelakinya serta seorang perunding hartanah kerana terhadap hujahan daripada pihak terbabit yang belum diterima.

Kamaruddin pada 21 April 2019 melepas dan membebaskan ketiga-tiga mereka selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Bagaimanapun, pada 7 November 2021, Mahkamah Tinggi mengarahkan bekas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri itu dengan dua yang lain terbabit untuk membela diri selepas Hakim Datuk Abu Bakar Katar memutuskan Mahkamah Sesyen terkhilaf dalam keputusannya itu.

Abd Abd Latif, Ahmad Fauzan dan Amir Shariffuddin didakwa pada 14 Jun 2017, atas 33 pertuduhan rasuah dan empat pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram berjumlah RM35.7 juta, bagaimanapun masing-masing mengaku tidak bersalah.