Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini menerima dengan hati terbuka keputusan terbaharu PAS berhubung status jawatan menteri besar dan barisan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN).

Namun, beliau memutuskan untuk menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi memberi nasihat tentang langkah seterusnya yang perlu dilakukan.

"Sehingga Sultan membuat keputusan muktamad, saya akan meneruskan pentadbiran kerajaan negeri bersama empat anggota MMKN (Exco) daripada PAS.

"Ini adalah bagi meneruskan perjalanan pentadbiran kerajaan negeri dan memastikan rakyat tidak terkesan dengan krisis politik ini," katanya dalam satu kenyataan.

Abdul Khalid, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang, dalam pada itu melahirkan ucapan terima kasih atas sokongan semua pihak dalam usahanya menjayakan agenda reformasi di Selangor.

Abdul Khalid turut menghargai kesungguhan dan kesabaran semua pihak dalam penyelesaian isu dan perkembangan terkini mengikut tatacara yang betul dan berlandaskan undang-undang.

Pimpinan tertinggi PAS dalam satu mesyuarat khas hari ini membuat pendirian mengelirukan apabila mengumumkan tidak menyokong lagi kepimpinan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor.

Namun, dalam masa sama, PAS mengarahkan empat anggota Exco daripada parti itu untuk kekal dalam pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Abdul Khalid.

PAS mencalonkan dua nama iaitu Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalannya, Mohamad Azmin Ali sebagai calon menteri besar yang baharu bagi menggantikan Abdul Khalid.

Keputusan sebulat suara itu dibuat selepas mesyuarat khas jawatankuasa kerja pusat PAS, sekali gus menggugurkan sokongan parti itu sebelum ini terhadap Abdul Khalid.