Kalau anda tidak ambil pusing soal politik, kemudian rakan mengajak ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) kerana ada Perhimpunan Agung UMNO 2017 (PAU 2017), ini soalan yang akan anda tanya.

"Ada apa dengan PAU 2017?"

Jawapannya mungkin berstruktur.

Ada gerai jualan murah, dari makanan sehinggalah kelengkapan untuk persiapan Hari Raya Aidilfitri tahun depan.

Kereta pun ada dijual ketika PAU 2017, promosi jualan kediaman serta pameran pelbagai syarikat.

Semuanya cuba memanfaatkan kehadiran ribuan perwakilan UMNO seluruh Malaysia untuk bantu lariskan jualan.

Kalau menyusuri di ruang legar, anda akan nampak beberapa kumpulan wanita yang duduk berkelompok mengikut cawangan atau bahagian masing-masing, melunjur, setia menonton dan mendengar apa yang diperkatakan di dalam dewan menerusi skrin besar.

Ini realitinya.

Mereka yang datang atas ajakan rakan, kerana mahu beli empat ke lima pasang kain dengan harga RM50, ini yang mereka saksikan.

Tetapi, soalan sebenarnya, "Ada apa dengan PAU 2017?"

Pertama, ia tentang survival Melayu, kedua, survival Melayu dan ketiga, survival Melayu.

Ini sebenarnya yang ada di PAU 2017.

Ini ibu dan bapa segala perhimpunan.

Ini perhimpunan akhir sebelum UMNO siap siaga turun ke gelanggang pilihan raya umum ke-14, PRU-14.

Ini platform cerita tentang apa yang perlu dibuat untuk menang PRU-14 dan kekalkan pemerintahan UMNO.

PAU 2017 adalah segalanya mengenai Melayu.

PAU 2017 adalah pembuka jalan misi PRU-14, seperti kata Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak, untuk tentukan survival bangsa, masa depan rakyat serta negara keseluruhannya.

Mimpi ngeri bakal timpa orang Melayu sekiranya UMNO dan Barisan Nasional (BN) gagal mempertahankan kerajaan sedia ada dalam PRU14 yang dikatakan sudah semakin hampir.

Ini kata Presiden.

Jadi, "Ada apa dengan PAU 2017?"

Kalau masih enggan peduli tentang politik, tiada apa pun yang ada dengan PAU 2017.

Tetapi kalau sayangkan bangsa Melayu, gerai jualan umpama pesta di PAU 2017 itu sedikit sebanyak boleh dijadikan simbol pemangkin ekonomi peniaga kecil-kecilan. Ya, mereka buat untung luar biasa setiap kali PAU. Tetapi, ini setahun sekali.

Mereka yang menonton dan mendengar menerusi skrin di ruang legar itu adalah golongan yang masih peduli tentang pemimpin yang perjuangkan nasib mereka, bukan sekadar mahu peduli tentang mesej-mesej di Whatsapp, mahupun gambar-gambar di Instagram.

Ambil peduli cuma setahun sekali. Jangan cuma tahu kritik dan tanya "Ada apa dengan PAU 2017?"

Kalau bukan kita orang Melayu mahu peduli semua ini, siapa lagi?

Belajarlah untuk peduli.



* Marlina Manaf adalah wartawan kanan di Astro AWANI.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.