KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis memberitahu Mahkamah Majistret di sini hari ini, bahawa terdapat kesan lebam pada tangan kanan dan kiri serta bahagian mata Emilia Hanafi semasa wanita itu membuat laporan polis berhubung dakwaan dipukul bekas suaminya, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin, tujuh tahun lepas.

Koperal Mahmood Riad Mohd Noor, 43, yang merupakan saksi kelima pihak pendakwaan berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria pada perbicaraan kes ahli perniagaan SM Faisal yang didakwa menyebabkan kecederaan terhadap bekas isterinya, Emilia,

Terdahulu, Mahmood Riad ketika membaca pernyataan saksinya berkata, Emilia juga dilihat menangis dan memberitahu, dia telah dicekik di bahagian leher selain dipukul sambil menunjukkan kesan lebam pada tubuhnya semasa membuat laporan polis di Balai Polis Sri Hartamas, 23 Nov 2015.

Beliau berkata, pada 12 tengah malam (23 Nov 2015) beliau telah diarahkan oleh Ketua Balai Polis Sri Hartamas iaitu ASP Alwizan untuk mengambil aduan seorang wanita berkaitan kes keganasan rumah tangga.

"Semasa saya mengambil laporan wanita tersebut, baru saya mengetahui bahawa dia adalah isteri kepada Datuk SM Faisal SM Nasimuddin. Nama wanita itu adalah Datin Emelia Hanafi. Sebelum diarahkan untuk mengambil aduan daripada Datin (Emilia) saya telah nampak Datin datang ke balai pada pukul berapa tidak pasti tetapi waktu petang (23 Nov 2015).

"Pada masa itu Datin telah datang ke kaunter pertanyaan Balai Polis Sri Hartamas untuk membuat laporan polis berkaitan dirinya dipukul oleh suaminya. Saya telah membawa Datin ke bilik Triaj dan telah memaklumkan kes ini kepada Ketua Balai Polis Sri Hartamas iaitu arahannya adalah supaya Datin mendapatkan rawatan di hospital dahulu," katanya.

Mahmood Riad yang kini bertugas di Bahagian Pusat Kawalan Balai Polis Pantai berkata, semasa beliau mengambil laporan polis tersebut terdapat kesan lebam yang jelas pada tubuh badan Emilia.

Sementara itu, Mahmood Riad bersetuju dengan peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili SM Faisal bahawa seorang anggota polis di balai polis yang sama iaitu Konstabel Ngu Tien Tien telah mengambil laporan yang dibuat oleh ahli perniagaan itu pada 23 Nov 2015.

Akberdin: Dalam laporan polis SM Faisal, dia ada maklumkan berlaku perselisihan faham dan kedua-duanya (SM Faisal dan Emilia) mengalami kecederaan, setuju dengan saya bahawa pengadu (Emilia) telah berselisih faham pada 22 Nov 12.30 tengah hari dan kedua-duanya mengalami kecederaan?

Mahmood Riad: Ya ada dalam laporan (polis).

Saksi itu juga bersetuju dengan cadangan peguam bahawa pegawai penyiasat yang dikenali sebagai Puan Rosnani telah menyiasat laporan polis yang dibuat oleh Emilia dan SM Faisal.

SM Faisal, 43, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Emilia, 43, yang merupakan isterinya (ketika kejadian) di sebuah rumah di Desa Sri Hartamas, Brickfields di sini antara 12.30 tengah hari dan 4.30 petang, pada 22 Nov 2015.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Majistret Nadia Othman bersambung 14 Sept ini. - BERNAMA