KUALA LUMPUR: Terdapat segelintir pihak dalam UMNO yang mahu membuat gerakan sulit bersama Pas untuk membuat gabungan antara Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), dan Gabungan Parti Sarawak (GPS), dakwa Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Dalam catatan terbaharu di laman media sosialnya, Timbalan Pengerusi BN Johor itu mendakwa, kumpulan itu cuba melemahkan UMNO dari dalam, dengan harapan dapat mempengaruhi barisan kepimpinan UMNO/BN, supaya menerima PN sebagai rakan kerjasama politik di masa depan.

Katanya lagi, kumpulan tersebut juga sanggup untuk menerima ‘katak-katak politik’ bekas UMNO dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), dan cuba buat taktik mengambil alih semula BN.

“Tindakan mereka ini terutamanya malaun dalam UMNO ini jelas membelakangkan parti dimana gerakan usaha sama merentasi sempadan hingga ke Borneo dipercayai dilakukan secara gelap dan demi kepentingan kuasa serta peribadi saja.

“Mereka juga dikatakan cuba untuk meminang GPS supaya menerima projek 'Trans PN-BN-Borneo' bagi menubuhkan kerajaan campuran selepas PRU15.

“Tapi dengar ceritanya GPS pun tolak dan tak setuju dengan pinangan tak masuk akal kumpulan malaun (mereka yang dikutuk) dan walaun ini, sebab GPS lebih cerdik serta tahu usaha sama pintu belakang ini tetap tak membantu tertubuhnya sebuah kerajaan yang stabil,” katanya lagi.


Nur Jazlan, yang juga bekas Ahli Parlimen Pulai berkata, beliau yakin rakyat Sarawak tidak memerlukan jaringan politik Trans PN-BN-Borneo, kerana mereka sudah selesa di bawah pentadbiran GPS selama ini.

Katanya lagi, sesetengah pihak dalam Pas dan UMNO, dilihat sanggup mengkhianati perjuangan parti sendiri kerana mahu mengekalkan kedudukan, jawatan dan pangkat di Putrajaya sebab mereka sedar sekarang ini kedudukan mereka cukup rapuh.

“Sebab itulah mereka sedaya upaya mahu menjodohkan dan menikahkan PN serta BN dalam satu perkahwinan mutaah politik demi kepentingan sendiri.

“Mereka tahu usaha ikut pintu depan ditentang habis-habisan oleh majoriti pemimpin dan ahli akar umbi UMNO,” katanya lagi.